Monday, March 11, 2013

Sidang Akhbar Mendesak Kerajaan Menubuhkan Satu Jawatankuasa Khas Untuk Menangani Masalah Penipuan dalam Pembelian Rumah

Pada 28 Februari, bertempat di Kafe PPIM di TIngkat 3 Villa Puteri, Kuala Lumpur telah berlangsung satu sidang media dianjurkan oleh PPIM untuk mendesak kerajaan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas peringkat pusat untuk meneliti kes-kes berkaitan penipuan oleh pemaju, peguam dan juga bank dalam proses pinjaman perumahan. Kes ini timbul akibat salahguna kuasa pihak tertentu yang mana akhirnya pengguna tertipu, rumah tidak disiapkan atau tidak dibina langsung manakala pembeli terbeban dengan hutang dengan bank.

PPIM diwakili oleh Ketua Aktivis iaitu Datuk Nadzim Johan bersama dua aktivis iaitu Sdr. Mustafa dan Tn. Hj. Kareem dan turut disertai oleh wakil Sukaguam iaitu Datuk Khairul Anuar.

Soalan dari Media berkisar tentang pertanyaan bagaimana kes ini boleh wujud. Satu persatu fakta kes diterangkan oleh panelis dan turut dikomen mengikut aspek perundangan oleh Datuk Khairul Anuar. Wakil pembeli, Wan Zamzahidi bin Wan Zahid menerangkan tentang bagaimana sengsara yang ditanggung oleh pembeli yang berjumpah dianggarkan 1200 orang (berdasarkan jumlah unit yang terjual dari 5 fasa pembangunan di Pulau Indah, Pelabihan Klang oleh pemaju Simpulan Cemerlang) dimana pembeli samada telah dimufliskan atau berhadapan dengan kemungkinan untuk dimufliskan. Kes ini perlu dilihat dari sudut sistem sosial secara keseluruhan dimana masa depan pembeli terancam, termasuk isu pekerjaan dan mata pencarian yang mana tidak mustahil mendatangkan seribu satu masalah dalam aspek sosial pada masa akan datang dimana hilang punca pencarian memungkinkan sebahagian terlibat dengan aktiviti tidak sihat dan sebagainya.

Malang sekali, perkara ini tidak mendapat liputan yang sepatutnya dimana hanya Utusan Malaysia dan Perak Today yang menyiarkan berita ini sementara akhbar yang lain tidak langsung memuatkan berita ini dalam keluaran mereka. Sungguh menyedihkan bahawa kes artis kehilangan wang RM55,000 mendapat liputan yang lebih besar dari ribuan rakyat berhadapan dengan krisis muflis.